31: PELUANG MENDEKATI ALLAH S.W.T.
JANGAN MENANTIKAN SELESAI SEGALA HALANGAN, KERANA YANG DEMIKIAN AKAN
MENGHALANG KAMU DARI MENDEKATI ALLAH S.W.T MELALUI SESUATU YANG ENGKAU
DIDUDUKKAN DI DALAMNYA.
Setelah
merenung Hikmat yang lalu kita telah dapat melihat dan menghayati
persoalan Qadar secara terperinci hingga kepada batas hembusan satu
nafas. Pada setiap ketika kita didudukkan di dalam medan Qadar.
Qadar membawa kepada
kita kejadian, suasana, rupa bentuk, nama-nama dan lain-lain. Masing-masing
menarik hati kita kepadanya. Apa sahaja
yang bertindak menarik hati menjadi penghalang untuk kita mendekati Allah s.w.t.
Oleh sebab
perjalanan Qadar tidak akan berhenti maka kewujudan halangan-halangan juga
tidak akan habis. Jika kita lemas di
dalam lautan Qadar, pandangan kita disilaukan oleh warna-warnanya dan kita
dimabukkan oleh gelombangnya, maka selama-lamanya kita akan terhijab dari Allah
s.w.t.
Tujuan kita beriman
kepada Qada’ dan Qadar bukanlah untuk kita lemas di dalam lautannya. Kita
hendaklah tahu mengikuti rentak ombaknya dan tiupan anginnya sambil perhatian
kita tertuju kepada daratan, bukan membiarkan diri kita terkubur di dasar laut.
Ketika menghadapi ombak Qadar kita hendaklah menjaga perahu yang kita
naiki.
Perahu tersebut ialah sama ada perahu asbab atau perahu tajrid. 1). Jika
kita menaiki perahu asbab kita perlu berdayung dan menjaga kemudinya sesuai
mengikut perjalanan sebab musabab. 2). Jika kita berada dalam perahu tajrid
kita akan ditolak oleh kuasa enjin tajrid tetapi kita masih perlu mengawal
kemudinya agar tidak lari dari daratan yang dituju.
Setiap Qadar yang
sampai kepada kita membawa kita memasuki ruang dan waktu. Pada setiap ruang dan waktu yang kita ditempatkan itu ada kewajipan
yang perlu kita laksanakan. Ia merupakan amanah yang dipertaruhkan oleh Allah
s.w.t kepada kita.
Qadar adalah utusan yang mengajak kita memerhatikan
perbuatan Allah s.w.t, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan Zat-Nya Yang Maha
Suci, Maha Mulia dan Maha Tinggi. Tidak ada satu
Qadar, tidak ada satu ruang dan waktu yang padanya tidak terdapat ayat-ayat
atau tanda-tanda yang menceritakan tentang Allah s.w.t.
Kegagalan untuk
melihat kepada ayat-ayat Allah s.w.t itu adalah kerana perhatian hanya
tertumpu kepada makhluk dan kejadian yang menjadi sebab musabab yang dibawa
oleh Qadar yang menempati sesuatu ruang dan waktu itu. Apabila perhatian tertumpu kepada makhluk dan kejadian maka makhluk
dan kejadian itu menjadi hijab antara hamba dengan Allah s.w.t.
Hamba akan melihat makhluk dan kejadian mempunyai kesan terhadap
sesuatu dan dia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t yang mengawal
segala sesuatu itu. Kewajipan si hamba ialah menghapuskan hijab tersebut agar
apa juga Qadar, ruang dan waktu yang dia berada di dalamnya, dia tetap melihat
kepada ayat-ayat Allah s.w.t. Hatinya
tidak putus bergantung kepada Allah s.w.t. Ingatannya tidak luput dari
mengingati Allah s.w.t. Mata hatinya tidak lepas dari memerhatikan sesuatu
tentang Allah s.w.t. Ingatan dan perasaannya sentiasa bersama Allah s.w.t. Setiap
Qadar, ruang dan waktu adalah kesempatan baginya mendekati Allah s.w.t.
Hati kita boleh
mengarah kepada dunia atau kepada akhirat ketika menerima kedatangan sesuatu
Qadar. Biasanya tarikan kepada dunia kita anggapkan sebagai halangan sementara
tarikan kepada akhirat kita anggap sebagai jalan yang menyampaikan. Sebenarnya kedua-duanya adalah halangan
kerana kedua-duanya adalah alam atau makhluk yang Tuhan ciptakan.
Syurga, bidadari,
Kursi dan Arasy adalah makhluk yang Tuhan ciptakan. Alam ini kesemuanya adalah
gelap gelita, yang meneranginya adalah kerana nampaknya Allah s.w.t padanya
(Hikmat 14). Alam adalah cermin yang memperlihatkan cahaya Allah s.w.t yang
padanya ada kenyataan Allah s.w.t. Oleh
yang demikian walau di dalam Qadar apa sekali pun kita berada, kesempatan untuk
melihat Allah s.w.t dan mendekat kepada-Nya tetap ada. Kesempatan ini
adalah hak Allah s.w.t terhadap hamba-Nya. Hak ini wajib ditunaikan pada waktu itu juga, tidak boleh ditunda
kepada waktu yang lain, kerana pada waktu yang lain ada pula hak Allah s.w.t
yang lain.
Setengah ulama
memfatwakan bahawa sembahyang yang terlepas dari waktunya boleh dilakukan
semula secara qada. Sekali pun sembahyang boleh dibuat secara qada tetapi hak Allah s.w.t yang telah
terlepas tidak boleh diqada.
Hamba yang
benar-benar menyempurnakan kewajipannya terhadap hak Allah s.w.t ialah yang
tidak berkelip mata hatinya memandang kepada Allah s.w.t, tidak kira didudukkan
dalam suasana atau Qadar apa sekalipun. Setiap waktu dan ruang yang dimasukinya adalah jambatan yang
menghubungkannya dengan Tuhannya
No comments:
Post a Comment